JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor terus berkurang daripada 1,860 orang membabitkan 537 keluarga pada 4 petang semalam, kepada 1,097 orang membabitkan 329 keluarga setakat 8 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi juga berkurang kepada 12.
“Setakat pagi ini, Kluang pula yang mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling tinggi dengan kerana meningkat sedikit daripada 410 mangsa pada petang semalam kepada 415 mangsa yang membabitkan 128 keluarga, di tiga PPS.
“Pontian juga masih mencatat jumlah mangsa banjir yang kedua tertinggi iaitu seramai 354 mangsa (97 keluarga) di lima PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Kota Tinggi yang sebelum ini paling terjejas, semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 275 orang (88 keluarga) pada jam 8 pagi ini, berbanding 1,016 orang (289 keluarga) petang semalam.
Katanya, PPS di Kota Tinggi juga kini hanya tinggal tiga yang masih dibuka.
Menurut beliau, di Johor Bahru pula, jumlah mangsa kekal dengan 53 daripada 16 keluarga di satu PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada Jumaat hingga Ahad ini.
Pada masa sama, tiada sungai yang dilaporkan pada paras bahaya, namun dua sungai iaitu Sungai Kahang yang juga sublembangan Sungai Endau di Kluang dan Sungai Jemaluang di Mersing mencatatkan paras bacaan air sungai di tahap amaran masing-masing dengan bacaan 14.36 meter (m) dan 1.69 m.
Setakat 8 pagi ini, cuaca di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Tangkak dan Kulai dilaporkan cerah, manakala daerah lain, mendung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.