Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,291 penduduk

Banjir di Jalan Lukut depan Taman Aman dan Taman Mawai. FOTO NSTP

KOTA TINGGI: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,291 penduduk daripada 396 keluarga.

Kesemua mereka kini ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas.

Statistik sehingga jam 2 itu menunjukkan pertambahan berbanding 1,156 penduduk daripada 366 keluarga yang ditempatkan di 18 PPS dua jam lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata cuaca mendung serta hujan lebat berterusan di 10 daerah di negeri ini menyebabkan jumlah mangsa banjir meningkat.

Kota Tinggi kekal paling terjejas dengan mangsa banjir bertambah sedikit kepada 1,088 mangsa daripada 346 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

“Mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana yang menempatkan 205 penduduk daripada 51 keluarga dari kawasan Taman Aman dan Taman Mawai.

“Mangsa banjir di Kulai turut juga meningkat kepada 84 penduduk daripada 19 keluarga dengan semuanya ditempatkan di PPS di kawasan Bukit Permai dan Senai.

“Di Pontian, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 74 penduduk daripada 19 keluarga yang ditempatkan di empat PPS membabitkan kawasan Pekan Nanas dan Benut.

“Mangsa banjir di Kluang pula kekal 45 penduduk daripada 12 keluarga di PPS Sekolah Agama Kampung Tengah 1,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memaklumkan enam sungai kekal merekodkan paras bahaya di negeri ini.

Ia membabitkan Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong di Kampung Siam dan Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya, Kulai; Sungai Pulai, Pontian selain Sungai Skudai di Kampung Laut dan Kampung Pasir, Johor Bahru.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini