Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor lepasi 3,000 orang

PDRM dan JBPM dalam usaha memindahkan mangsa terjejas banjir ekoran hujan lebat berterusan melanda daerah Kota Tinggi sejak pagi kelmarin. – Foto Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 3,449 orang daripada 1,023 keluarga yang kini ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas, setakat jam 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata angka itu meningkat berbanding 2,524 mangsa daripada 722 keluarga di 33 PPS, setakat jam 6 petang semalam.

Walaupun hujan lebat lebih 24 jam kelmarin reda malam tadi, Azmi berkata ramalan cuaca menunjukkan enam daerah termasuk Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat, Segamat, Pontian, dan Mersing dijangka menerima hujan pagi ini, manakala cuaca mendung diramalkan di Johor Bahru, Muar, Kluang, dan Tangkak.

Kota Tinggi kekal sebagai daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 1,160 orang daripada 368 keluarga di 13 PPS. Kulai pula merekodkan 748 mangsa daripada 167 keluarga di lima PPS.

“Johor Bahru mencatat lonjakan paling ketara dengan jumlah mangsa meningkat hampir lima kali ganda kepada 605 orang daripada 206 keluarga di lima PPS. Kluang pula merekodkan 506 mangsa daripada 148 keluarga di lima PPS, manakala Pontian melonjak dua kali ganda kepada 430 mangsa daripada 114 keluarga di lapan PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmi, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, memaklumkan tiga sungai di negeri ini berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Kahang di Kluang, dan Sungai Sayong di Kampung Siam, Kulai.

Empat sungai lain berada pada paras amaran, termasuk Sungai Skudai di Kampung Pasir (Johor Bahru), Sungai Punggai dan Sungai Sedili Kecil (Kota Tinggi), serta Sungai Jemaluang (Mersing). Lima lagi sungai berada pada paras waspada, antaranya Sungai Pontian Besar (Kulai), Sungai Skudai di Kampung Laut, dan Sungai Tiram (Johor Bahru).

“Keadaan ini memerlukan pemantauan rapi, dan semua pihak dinasihatkan berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini