JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor tidak berubah dengan jumlah mangsa kekal 36 orang daripada 11 keluarga, setakat 8 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Batu Badak di Segamat, yang dibuka sejak 29 Nov lepas.
“Ini susulan petempatan mereka di Kampung Seberang Batu Badak masih digenangi banjir termenung.
“Selain itu, hanya stesen Sungai Paya Dato di Mersing dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 2.47 meter (trend menaik),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, keadaan cuaca di daerah Johor Bahru, Pontian, Kluang, dan Kulai dijangka cerah, manakala Muar, Batu Pahat, Kota Tinggi, dan Tangkak mendung, sementara Mersing dan Segamat diramalkan hujan pada pagi ini.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.