HULU TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir di daerah semakin meningkat daripada 55 kepada 112 mangsa sehingga jam 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, peningkatan mangsa banjir berlaku berikutan limpahan air sungai susulan hujan lebat berterusan sejak semalam hingga petang tadi
Menerusi kenyataan terkini, susulan peningkatan jumlah mangsa, sebanyak dua PPS baharu dibuka menjadi empat PPS beroperasi bagi menempatkan 112 mangsa daripada 37 keluarga.
“Empat PPS berkenaan adalah PPS Kampung Lubuk Periuk (5 keluarga, 20 mangsa) PPS Balairaya Kampung Peneh (14 keluarga, 35 mangsa), PPS Balai Raya Kampung Kemat (12 keluarga, 38 mangsa) dan PPS Kampung Cheting seramai 19 mangsa daripada enam keluarga,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa dikatakan mengambil langkah awal berpindah sendiri ke PPS di kampung terbabit bagi mengelak terperangkap dalam banjir.
“Oleh kerana kerap dinaiki air, penduduk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk pindah apabila berlaku hujan lebat berterusan,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya percaya jumlah mangsa banjir diijangka kembali menurun berikutan hujan yang semakin reda.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.