comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Hulu Terengganu bertambah

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Bilangan mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Terengganu meningkat kepada 71 orang daripada 23 keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 43 mangsa daripada 15 keluarga, malam tadi.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, memaklumkan semua mangsa ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Kemat, Hulu Terengganu selepas kediaman mereka dinaiki air.

PPS di daerah itu terpaksa dibuka bagi menempatkan mangsa yang mula dipindahkan bermula jam 6 petang berikutan hujan lebat melanda Hulu Terengganu.

Banjir yang berlaku itu susulan limpahan air sungai dan setakat ini hujan berterusan masih melanda di beberapa tempat di daerah itu.

Dalam pada itu, satu sungai di Terengganu merekodkan bacaan melepasi paras amaran di daerah Setiu setakat pagi ini.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, sehingga jam 7.15 pagi mendapati Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu berada dalam keadaan amaran dengan bacaan 20.45 meter.

Sebelum ini, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyebabkan lebih 40,000 penduduk terjejas membabitkan lapan daerah berpindah ke PPS.

PPS Masjid Kampung La, Besut menjadi PPS terakhir ditutup di negeri ini berikutan ada kediaman mangsa rosak teruk akibat banjir.

Loading...
Terkini