comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Changlun meningkat 162 orang

Mangsa banjir di PPS SMK Changlun. Foto NSTP

CHANGLUN: Mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun meningkat kepada 162 mangsa daripada 53 keluarga setakat jam 4 petang, hari ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 154 mangsa yang dilaporkan pada jam 12 tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah itu membabitkan 55 lelaki dewasa, 53 wanita dewasa, 51 kanak-kanak, tiga bayi dan 17 warga emas.

Beliau berkata, kesemua mereka adalah daripada lapan kampung yang terjejas banjir iaitu Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Kemara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Lantau, Kampung Paya Nongmi, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh dan Kampung Padang Halban.

“Kesemua kampung terbabit adalah daripada Mukim Changlun dan Mukim Temin.

“Bagaimanapun kita menasihatkan penduduk yang berisiko di kawasan rendah supaya berpindah sekiranya air naik mendadak dan hujan lebat berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, lima sungai di Kedah mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya setakat jam 3 petang hari ini.

Antara sungai terbabit adalah Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar, Sungai Perik di Kampung Perik daerah Padang Terap.

Bagaimanapun, Sungai Padang Terap di Kepala Batas dan Sungai Bata di daerah Kubang Pasu sudah melepasi bacaan paras amaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini