KUALA LUMPUR: Situasi banjir di negara ini semakin buruk apabila mangsa banjir di sembilan negeri terjejas, kini melepasi angka 102,000 orang.
Setakat 9 malam ini, maklumat disiarkan dalam portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan seramai 102,253 orang daripada 31,231 keluarga ditempatkan di 643 pusat pemindahan sementara (PPS).
Semua PPS yang diaktifkan di 37 daerah itu membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak,Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.
Daripada jumlah itu, 269 PPS di Kelantan dibuka untuk memberi perlindungan kepada 74,828 mangsa daripada 23,251 keluarga yang terjejas di 10 daerah.
Pada masa sama, Terengganu mengaktifkan 281 PPS bagi menempatkan 20,119 mangsa daripada 5,821 keluarga yang menetap di lapan daerah.
Di Kedah, 3,921 mangsa daripada 1,242 keluarga masih berlindung di 49 PPS, manakala Negeri Sembilan membuka 23 PPS bagi menempatkan 2,111 mangsa daripada 577 keluarga yang terjejas di empat daerah.
Selain itu, empat PPS dibuka di Perlis bagi memberi perlindungan kepada 473 orang daripada 138 keluarga manakala Melaka menempatkan 180 mangsa daripada 49 keluarga di lima PPS.
Di Selangor, seramai 487 mangsa daripada 111 keluarga ditempatkan di dua PPS.
Sementara itu, seramai 114 orang daripada 35 keluarga di Johor, ditempatkan di sembilan PPS manakala 20 orang daripada tujuh keluarga di Perak berlindung di sebuah PPS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.