KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus mencatatkan penurunan dengan merekodkan seramai 116,687 orang petang ini berbanding 128,733 orang tengah hari tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 508 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di 36 daerah di sembilan negeri.
Setakat jam 4 petang, mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 70,656 orang yang ditempatkan di 193 PPS berbanding 80,442 orang di 220 PPS pada 12 tengah hari tadi.
Mangsa banjir di Terengganu turut berkurangan seramai 34,957 orang masih ditempatkan di 218 PPS berbanding 36,637 orang di 246 PPS tengah hari tadi.
Selain itu, Kedah mempunyai 42 PPS masih aktif di lima daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Sik yang memberi perlindungan kepada 7,498 orang terjejas bencana itu.
Di Pahang pula, seramai 1,628 mangsa banjir masih berlindung di 22 PPS yang beroperasi di Raub, Jerantut dan Lipis.
Sementara itu, di Perak kini mempunyai tujuh PPS masih aktif di empat daerah dengan 541 mangsa, manakala Melaka (167 orang, empat PPS), Perlis (233 orang, satu PPS) dan Negeri Sembilan (74 orang, satu PPS).
Di Johor pula menunjukkan peningkatan angka mangsa banjir apabila sebanyak 20 PPS diaktifkan di Segamat dan Tangkak membabitkan 933 mangsa berbanding 846 orang pada tengah hari tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.