KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri terus meningkat kepada 88,066 orang membabitkan 27,191 keluarga, petang ini.
Setakat jam 4 petang, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, 554 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Melaka dan Johor.
Jumlah mangsa di Kelantan terus meningkat kepada 66,038 orang membabitkan 20,645 keluarga dari 10 daerah terjejas.
Semua mereka kini masih berlindung di 244 PPS yang diaktifkan di negeri terbabit.
Di Terengganu, seramai 16,740 mangsa daripada 4,914 keluarga yang terjejas di lapan daerah, masih berlindung di 234 PPS di negeri itu.
Pada masa sama, sebanyak 42 PPS dibuka di Kedah bagi menempatkan 2,866 mangsa daripada 970 keluarga yang terjejas di lima daerah.
Negeri Sembilan pula merekodkan 1,593 mangsa daripada 433 keluarga masih berlindung di 19 PPS manakala Perlis pula mencatatkan 425 mangsa daripada 125 keluarga dari tiga daerah terjejas yang kini ditempatkan di empat PPS.
Selain itu, 312 orang daripada 77 keluarga masih kekal ditempatkan di dua PPS di Selangor manakala 20 orang daripada 7 keluarga di Perak berlindung di sebuah PPS negeri itu.
Melaka pula, negeri terbaharu yang terjejas banjir hari ini membuka lima PPS bagi menempatkan 72 orang daripada 20 keluarga yang terjejas di lima daerah.
Sementara itu, jumlah sebenar mangsa terjejas Johor masih belum direkodkan setakat ini, namun tiga PPS di Tangkak dan Segamat dibuka sejak tengah hari tadi.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di lapan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor sehingga esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.