comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa bah di Johor catat penurunan, hanya empat daerah masih terjejas

Situasi terkini keadaan banjir di Batu Pahat, Johor – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan penurunan kepada 43,793 orang daripada 12,465 keluarga setakat jam 4 petang, hari ini.

Angka tersebut berkurang berbanding 44,779 orang daripada 12,683 keluarga pada jam 12 tengah hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 162 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah yang masih terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, kini tinggal Batu Pahat, Muar, Tangkak dan Segamat yang masih terjejas dengan banjir.

“Batu Pahat turut menunjukkan sedikit penurunan mangsa banjir dan kini seramai 39,919 orang (11,216 keluarga) ditempatkan di 115 PPS di daerah itu.

“Di Muar pula, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,879 orang (561 keluarga) di 17 PPS; Tangkak pula berkurangan menjadi 1,589 orang (578 keluarga) di 15 PPS dan Segamat, jumlah mangsa banjir kini tinggal seramai 406 mangsa banjir (110 keluarga) di 15 PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tiada mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan, namun amaran ribut petir dikeluarkan di Muar dan Batu Pahat.

Bagi laporan cuaca sebenar pula, lima daerah ini dilaporkan cerah, manakala lima lagi iaitu Muar, Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Kulai dilaporkan hujan pada petang ini.

Loading...
Terkini