comscore
Tumpuan :
Nasional

Manfaatkan AI untuk tingkat produktiviti secara ketara – Tengku Zafrul

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi meningkatkan produktiviti secara ketara menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang dapat melangkaui manfaat pendigitalan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata potensi AI untuk mempermudah tugasan yang sukar, juga berupaya memacu produktiviti selain membuka peluang kreativiti dan pemikiran secara strategik.

Selain AI, turut diperlukan adalah langkah meningkatkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kekompleksan ekonomi dengan penghasilan dan penyampaian produk serta perkhidmatan yang kompetitif, sekali gus membolehkan syarikat dan ekonomi mengambil bahagian dalam rantaian global bernilai tinggi, kata beliau.

“Dalam R&D, inovasi proses itu adalah sama pentingnya dengan inovasi produk dan penting dalam usaha meningkatkan produktiviti.

“Pada masa sama, pesaing juga pantas mengejar dan kita tidak mampu untuk menjadi tidak produktif,” katanya berucap pada majlis pelancaran Laporan Produktiviti 2024 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul turut menekankan bahawa aspek teknologi, peraturan dan pekerja atau bakat merupakan pemacu penting produktiviti yang turut menjadi teras Laporan Produktiviti 2024.

Laporan itu turut menyarankan kerajaan di semua peringkat untuk mengamalkan kawal selia baik selain mempunyai pemikiran perniagaan, meminimumkan kejutan dan ketidakpastian dalam pematuhan peraturan berkaitan.

“Perniagaan misalnya, mesti menerima pengurusan dan teknologi moden untuk mengurangkan kos tetap dan marginal.

“Mereka juga perlu menghargai dan memberi ganjaran kepada pekerja yang terus meningkatkan kemahiran atau kemahiran semula, memastikan kecekapan kekal relevan dalam landskap yang pesat berkembang,” kata beliau.

Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa pendekatan kerajaan sepenuhnya dan menyeluruh adalah penting bagi menangani pelbagai faktor yang mempengaruhi daya saing.

Ini termasuk pengurusan bakat, penyampaian perkhidmatan awam, penambahbaikan pendigitalan dan pengurusan ekonomi domestik serta perdagangan antarabanysa.

Bertemakan Memacu Produktiviti Malaysia, laporan itu mengetengahkan bahawa produktiviti bagi setiap pekerja pada 2023 adalah positif, menyederhana kepada 0.9 peratus berbanding peningkatan 5.4 peratus pada 2022.

Selain itu, tahap produktiviti negara juga meningkat kepada RM96,692 bagi setiap pekerja pada 2023 daripada RM95,858 bagi tahun sebelumnya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini