Oleh: Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Literasi politik dalam kalangan golongan muda khususnya penuntut universiti membuka ruang pembentukan jati diri mereka.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata senario menyeluruh perlu diperlihatkan berkenaan peri pentingnya memikul tanggungjawab sebagai generasi yang menentukan masa hadapan negara.
![](https://media.buletintv3.my/2023/07/6sYjYUxT-BULETIN-TV3.jpg)
“Hala tuju pengundi muda saya kira adalah pelbagai, dan mempunyai variasi tersendiri. Kita tidak boleh menyeragamkan pandangan mereka kerana kita adalah negara pelbagai kaum, agama dan bangsa”
“Sekalipun, orientasi pendidikan yang berbeza seperti latar belakang aliran akademik dan sosial mereka.”, jelasnya,
Tambahnya, usaha harus digandakan bagi mendapatkan sokongan mahasiswa ini dan memastikan mereka keluar mengundi pada PRN di enam negeri akan datang.
Terutamanya, memberi jaminan pendidikan yang menyakinkan, jika mahu memenangi ‘undi’ mereka.
“Sokongan pengundi sangat dipengaruhi oleh kuasa media sosial terutama era “Tiktok” ini, walaupun masih dipengaruhi konstruksi sosial seperti keluarga, orientasi pendidikan dan rakan sebaya.”
“Cuma, parti mana yang menjadi pilihan mereka, saya kira ia sangat bergantung kepada parti mana yang boleh memberi jaminan dari segi pendidikan dari segi biasiswa pendidikan, pinjaman pelajaran, latihan kemahiran dan sebagainya”
“Jadi, perkara-perkara ini yang akan menarik mereka untuk berfikir bagaimana wahana yang sesuai untuk masa depan mereka”, jelasnya.
![](https://media.buletintv3.my/2023/07/U6ON2X0e-BULETIN-TV3.jpg)
Sependapat dengan pandangan itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Nazirah Binti Abdullah yang berkata situasi politik negara hari ini semakin menarik dan memerlukan generasi pelapis yang berwawasan besar supaya negara terus makmur dan disegani di mata dunia.
“Mahasiswa hari ini perlu buka minda dan celik politik supaya dapat meningkatkan elemen literasi politik dan dapat menjadi seorang pengundi yang pandai menilai ciri-ciri seorang pemimpin yang benar-benar layak untuk dipilih”
“Bukannya terpengaruh dengan sentimen-sentimen yang tular di platform media sosial”, ujarnya.
Nazirah turut menyarankan kebebasan berpolitik yang diberikan kepada mahasiswa di negara ini perlu dimanfaatkan sebaiknya, terutama dalam melahirkan golongan muda berjiwa besar dan tinggi ciri kepimpinan.
“Mahasiswa perlu rajin membuat kajian tentang isu-isu politik yang berlaku hari ini supaya minda mahasiswa tidak diracuni oleh puak-puak yang suka membuat propaganda dan provokasi” kongsinya.
Sebelum ini, dianggarkan lebih 5,000 mahasiswa bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan Ogos depan.
Lebih menarik, majoriti daripadanya berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi susulan kebanyakan universiti sudah selesai mengadakan peperiksaan dalam tempoh itu.
PRN bakal berlangsung serentak di Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Terengganu juga bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.