Tumpuan :
Nasional

Manfaat aplikasi VSP untuk bantu cegah jenayah – PDRM

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap lebih ramai memanfaatkan aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang kini ditambah baik ke versi 2.0, sebagai kemudahan kepada masyarakat dalam membantu mencegah jenayah di Malaysia.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, PDRM komited memperluas penggunaan VSP kerana penggunaan aplikasi itu kurang popular.

“Aplikasi ini telah lama diperkenal, manfaatkan ia untuk penyaluran aduan dan maklumat yang dilengkapi elemen multimedia seperti gambar, video serta koordinat GPS lokasi kejadian. Kita turut wujudkan butang panik iaitu tindakan segera akan diambil oleh anggota polis yang bertugas di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan karnival pencegahan jenayah dan melancarkan Conferencing Point Pondok Polis Fajar di sini hari ini.

Beliau berkata anggaran masa bagi PDRM sama ada melalui kekuatan unit kereta peronda (MPV) atau rondaan bermotosikal (URB) mengambil tindakan ialah selewat-lewatnya 12 minit selepas menerima laporan atau aduan daripada VSP.

“PDRM mempunyai lebih 3,000 MPV dan 1,800 URB yang bergerak setiap masa untuk membantu menangani masalah jenayah di seluruh negara justeru menerusi platform VSP, kita harapkan masyarakat dapat bersama-sama dengan PDRM membanteras jenayah di negara ini,” katanya.

Datuk Wan Hassan juga berkata, PDRM turut mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan bagi melaksanakan program bersama dalam mencegah jenayah.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini