PUTRAJAYA: Teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ‘Big Data’ perlu digunakan untuk membuat ramalan awal terhadap kemungkinan impak negatif sesuatu pembangunan terhadap alam sekitar, kesesakan lalu lintas dan cuaca.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pembangunan yang pesat pasti akan memberi pelbagai kesan terhadap alam sekitar.
Namun, beliau berkata, ia boleh dihindari melalui pengurusan dan perancangan bandar raya yang berpandukan teknologi semasa seperti penggunaan data (data driven) yang terkumpul.
“Tanpa kita sedari, elemen-elemen perbandaran menjana pelbagai jenis data seperti trafik, kualiti alam sekitar, cuaca dan banyak lagi tetapi melalui pengumpulan data yang berstruktur serta bersepadu, ia boleh menghasilkan pelbagai jenis analisis untuk membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat.
“Malah, data-data ini juga dapat digunakan untuk membuat ramalan keadaan bandar sebagai amaran awal terhadap kemungkinan berlakunya kesan negatif sesuatu pembangunan. Pembangunan yang pesat sudah tentu sedikit sebanyak memberi pelbagai kesan sama ada kepada alam sekitar atau kesesakan jalan raya.
“Ia dapat dihindari melalui simulasi dan juga trend menggunakan data-data terkumpul setiap tahun,” katanya dalam ucapan merasmikan Majlis Peluncuran Putrajaya Urban Observatory (PUO) sempena Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DiPEC) 2024, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah turut menggesa isu kesesakan jalan raya diberikan perhatian dalam penggunaan teknologi berkenaan, kerana ia memberi kesan kepada kesihatan serta produktiviti rakyat.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak terbabit amat diperlukan untuk penghasilan maklumat dan analisis yang bertepatan dengan situasi semasa di sebuah bandar, sekali gus meningkatkan keberkesanan apabila kerajaan menyediakan peruntukan bagi sesuatu pembangunan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.