Tumpuan :
Nasional

“Mana ada bapa sanggup tengok anak tidur dalam kereta, saya terpaksa”

Razak terpaksa membawa isteri dan tiga anaknya tidur di dalam kereta selama 10 bulan selepas mereka tiada tempat tinggal dan tidak mampu menyewa rumah. Foto ihsan Edi Arjuna Pencerita

TEMERLOH: “Mana ada bapa sanggup tengok anak tidur dalam kereta, tapi apakan daya, saya terpaksa,” luah bapa tiga anak dikenali Razak yang sudah hampir 10 bulan tinggal di dalam kereta Proton Wira miliknya kerana tiada tempat tinggal.

Kesusahan Razak, 42 tahun bersama isteri yang cuma mahu dikenali sebagai Siti, 39 tahun dan tiga anak mereka yang berumur tiga hingga lapan tahun itu mendapat perhatian warganet susulan perkongsian pengguna Facebook, Edi Arjuna Pencerita.

Perkongsian itu memberi sinar buat Razak sekeluarga apabila ramai tampil untuk membantu. Menurut Razak, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti memotong rumput dan pemandu van sekolah namun ujian kesempitan hidup semakin perit ketika pandemik COVID-19.

Katanya, sebelum ini mereka pernah tinggal menyewa di Banting, Selangor dan menumpang di rumah keluarga di ibu negara, namun masalah yang berlaku menyebabkan mereka membuat haluan sendirian dan akhirnya tinggal di dalam kereta.

Lebih memeritkan apabila Razak dimasukkan ke Hospital Temerloh hari ini bagi membuang ketumbuhan pada leher yang disedarinya sebulan lalu.

“Sepanjang tinggal dalam kereta, saya sudah bawa anak dan isteri bermalam di merata tempat, antaranya sekitar Nilai, Negeri Sembilan; Banting, Selangor dan terbaharu di Lebuh Raya Karak, Pahang.

Kebiasaannya kami tidur di dalam kereta, namun jika ada rezeki lebih, saya bawa anak dan isteri tidur di hotel bajet. Alhamdulillah, setakat ini tiada gangguan atau masalah malah polis peronda juga bantu, memantau keselamatan kami,” katanya.

Demi kelangsungan hidup, Razak kini mengambil upah sebagai mekanik jalanan tanpa meninggalkan anak dan isterinya, namun upah diterima tidak seberapa menyebabkan sukar untuknya menyewa rumah.

“Saya memang nak sewa rumah cuma apabila dapat duit, kena dahulukan beli makanan dan keperluan anak, termasuk susu dan lampin pakai buang

. Sebelum ini, ada juga simpan duit tetapi kereta rosak hingga saya terduduk. Pernah juga berniaga jual air tin tetapi modal tak cukup dan kemudian ambil upah bantu mereka yang perlukan pertolongan akibat kereta rosak di tengah jalan,” katanya.

Razak berkata dia sedih apabila dimasukkan ke wad (hari ini) pada hari ulang tahun keempat anak keduanya dan tidak dapat meraikan bersamanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan dia mungkin dibedah esok (Jumaat).

“Saya harap pembedahan berjalan lancar kerana nak keluar bekerja dan cari duit untuk keluarga,” katanya.

Razak juga memberitahu dia sudah dihubungi wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kisahnya tular. Katanya, JKM bertanya di mana dia sekeluarga mahu menetap selepas ini. “Kalau boleh saya nak duduk di sekitar Karak dan berharap dapat bantuan bayar wang pendahuluan rumah kerana memang tak mampu buat masa ini,” katanya.

Tamat – BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini