KUALA LUMPUR: Zurini Hasbullah, bekas isteri penyanyi Cliff Umar meluahkan rasa kecewa selepas bekas suaminya itu menolak semua tuntutan wang nafkah untuk anak mereka atas alasan kerana tidak mampu tetapi pada masa sama mampu memiliki bahan terlarang.
Cliff, 42, atau nama sebenar Abdullah Umar Joseph baru-baru ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas dakwaan memiliki dadah jenis heroin.
Dia dituduh memiliki 0.39 gram heroin di tepi jalan Persiaran Kewajipan di Subang Jaya, Selangor jam 3.30 petang 26 Mei lalu.
Zurini, 44, ketika dihubungi NST berkata dia cuma membuat sejumlah tuntutan kecil daripada sepatutnya kerana faham akan kesukaran yang dihadapi oleh Cliff yang juga juara musim ketujuh Gegar Vaganza.
“Peguam saya terkejut. Daripada tuntutan asal lebih RM500,000, ia sekarang menjadi lebih rendah kerana saya menolak beberapa tuntutan lain selepas memikirkan mengenai keadaannya.”
Saya hanya meminta bayaran jagaan anak, mutaah dan idah,” katanya.
Tambah Zurini, apa yang dimintanya cuma perkara yang perlu.
“Saya juga menawarkan untuk menerima bayaran pendahuluan dan bayaran boleh dibuat apabila dia mampu. Bukan semuanya sekali gus.”
“Seperti biasa, dia kata kerjanya tidak menentu dan dia tidak mampu. Tetapi bagaimana dia mampu mempunyai tabiat mewah menagih dadah,” kata Zurini.
Zurini berkata dia sudah lama berpisah dengan Cliff dan bersyukur kerana bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel terkemuka di Kuching, Sarawak.
“Anak-anak sudah belajar menjaga diri di rumah. Walaupun gaji saya hanya separuh daripada yang saya perlukan untuk menampung mereka, saya bersyukur kerana saya mempunyai pekerjaan.”
“Sejak saya mula bekerja, pelbagai peluang datang kepada saya. Saya ditawarkan bekerja di tempat lain dengan jawatan dan gaji yang lebih tinggi, tetapi saya terpaksa berfikir panjang kerana berpindah memerlukan wang yang banyak. Saya baharu empat bulan bekerja. Bagi saya, semuanya baik-baik sahaja kerana saya suka pekerjaan itu,” katanya.
Zurini, bekas paramugari, berkahwin dengan Cliff pada 2008 dan bercerai pada 2019.
Mereka mempunyai tiga orang anak; dua lelaki berusia 15 dan 12 tahun yang menghidap autisme dan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang menunjukkan tanda-tanda disleksia dan akan menjalani pemeriksaan lanjut pada 2 Julai ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.