Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malbatt 850-11 bawa misi kemanusiaan, tidak terbabit perang Palestin-Israel

 

SUBANG: Batalion Malbatt 850-11, oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan, membawa misi pengaman dan kemanusiaan di negara berkenaan dan tidak terbabit dalam perang Palestin-Israel.

Penghantaran 854 pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM bersama 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Brunei ini akan menggantikan misi Malbatt 850-10.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penglibatan ATM dalam misi-misi di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini adalah satu bentuk pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kreadibiliti, kewibawaan dan profesionalisme ATM.

“Setakat ini situasi keselamatan pasukan pengaman kita (ATM) boleh dianggap terkawal selepas kedudukan dua kem Malbatt 850, di Tibnin dan Marakah di Lubnan, berada jauh dari kawasan persempadanan antara Lubnan dan Israel.

Foto: NSTP

“Berbanding kem yang diduduki oleh pasukanpengaman dari lapan negara yang turut ditugaskan di Lubnan, kedudukan kem Malaysia di bahagian belakang pasukan pengaman yang bertugas di sempadan.

“Justeru boleh dikatakan risiko keselamatan terhadap ancaman dan serangan boleh dikatakan agak kurang namun Malbatt 850-11 diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam melaksanakan penugasan mereka,” katanya dalam Majlis Penghantaran kumpulan pertama Batalion Malbatt 850-11 di Subang, hari ini.

Mengulas mengenai situasi keselamatan Malbatt 850-10 yang akan kembali ke tanah air dalam masa terdekat selepas melaksanakan penugasan selama 12 bulan, Mohamad berkata terdapat beberapa situasi berlaku sejak konflik Palestin dan Israel bermula pada 7 Oktober lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima ada sejak konflik Palestin dan Israel bermula, pegawai dan anggota kita (ATM) akan bersembunyi dalam kubu di kem masing-masing apabila terdapat amaran serangan.

“Namun ianya tidak membabitkan sebarang kejadian buruk yang tidak diingini,” katanya.

Mohamad berkata, penghantaran Batalion Malbatt 850-11 ini adalah seperti yang dijadualkan selepas pelaksanaan misi kemanusiaan Batalion 850-10 berakhir selepas 12 bulan berada di Lubnan.

“Jangan pula ada yang anggap dan kata tujuan penghantaran Malbatt 850-11 ini adalah untuk terbabit sama dalam situasi konflik antara Palestin dan Israel, itu tidak benar,” katanya.

Beliau berkata penglibatan ATM diperingkat antarabangsa membuktikan bahawa Malaysia komited dalam melaksanakan tanggungjawab tugas pengaman dan memberi bantuan kemanusiaan demi memastikan aspirasi keamanan sejagat dapat direalisasikan.

Loading...
Terkini