comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Vietnam sepakat perkasa usahasama bidang pertahanan, maritim dan digital

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam sepakat untuk memperkasa usahasama dalam bidang pertahanan, maritim, digital dan sektor tenaga termasuk berkaitan Grid Kuasa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menerusi kenyataan bersama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen dalam kerjasama ke arah memperkukuhkan hubungan dengan lebih komprehensif.

“To Lam bersikap sangat terbuka dan menyokong, begitu juga para pemimpin Vietnam. Saya percaya kami menyatakan penghargaan kami.

“Oleh itu kami akan memastikan kerjasama ini dipermudahkan dalam semua bidang termasuk pertahanan, maritim, seperti dua perjanjian persefahaman (MoU) antara MATRADE dan PETRONAS, serta digital dan juga tenaga menggunakan Grid Kuasa ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama To Lam sempena lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari mulai hari ini.

Sementara itu, To Lam selaku pemimpin tertinggi Vietnam itu turut menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama perlbagai bidang dengan Malaysia antaranya industri halal.

“Kami juga akan memperluas kerjasama dalam pembangunan industri Halal dengan menggalakkan perniagaan kami untuk meluaskan pelaburan di negara masing-masing.

“Kami juga komited untuk melindungi kepentingan perusahaan dalam syarikat minyak dan gas, kerjasama dalam ekonomi maritim serta tenaga boleh diperbaharui,” ujarnya.

Tambahnya Vietnam dan Malaysia berikrar untuk terus menyokong antara satu sama lain secara aktif dan bekerjasama dalam isu serantau serta antarabangsa khususnya membabitkan keamanan, keselamatan dan kestabilan.

Terdahulu, To Lam diberi diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra dan ketibaan beliau disambut Perdana Menteri pada jam 11.50 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

To Lam kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan dua pegawai dari Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini