Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Uzbekistan perlu bergerak aktif dalam memperkukuh hubungan perdagangan dua hala melibatkan pelbagai sektor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara ini mempunyai kelebihan dan kepakaran yang tersendiri yang perlu dimanfaatkan.
“Ada keperluan untuk kita pertingkat kerjasama perdagangan dalam sektor teknologi makanan, tenaga hijau, dan semikonduktor.
“Perlu ada laporan bulanan dan perkembangannya (kerjasama perdagangan). Matlamat ini hanya boleh dicapai sekiranya ada kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ekonomi Uzbekistan-Malaysia di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut menyifatkan Malaysia dan Uzbekistan mempunyai tarikan pelaburan yang tinggi, selain kedua-dua negara juga telah menyatakan komitmen yang sama.
“Kita akan lakukan apa yang perlu dalam usaha untuk yakinkan komuniti perniagaan. Presiden Shavkat sendiri juga akan memantau rapat kerjasama ini agar ia memberikan jaminan yang kukuh,” katanya lagi.
Berucap pada forum tersebut, platform berkenaan juga katanya mampu memberi ruang kepada pemain industri kedua-dua negara dalam memperoleh hala tuju dan komitmen yang jelas darioada kedua-dua negara.
Ini termasuk jalinan kerjasama kedua-dua negara dalam memanfaatkan kekuatan masing-masing yang harus dilaksanakan segera.
“Apa yang penting, komitmen (Malaysia-Uzbekistan) sudah dinyatakan dengan jelas dan usaha ini perlu dilakukan segera.
“Jadi mengapa kita tidak boleh bekerjasama dengan baik dan seterusnya akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujarnya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.