Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Uzbekistan komited kukuh kerjasama ekonomi rentasi sektor Utama

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Farah Nabilah Wazer

PUTRAJAYA: Malaysia dan Uzbekistan komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor utama bagi manfaat kedua-dua negara.

Ia melibatkan industri tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pendigitalan, kecerdasan buatan, pembangunan bandar pintar dan pembangunan pemula niaga.

Dalam satu kenyataan bersama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev turut menyatakan minat dalam meneroka perkongsian dalam industri minyak sawit, selain melihat prospek meyakinkan untuk membangunkan zon perindustrian bersama di negara Asia Tengah itu.

“Langkah ini dapat memupuk kerjasama dalam menarik syarikat pengurusan, pengurus taman dan pelabur untuk mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan zon perindustrian di Uzbekistan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin bersetuju memperkukuh kerjasama dalam sektor pelancongan dengan memanfaatkan inisiatif “Visit Malaysia 2026”, selain meneroka peluang dalam pelancongan Islam dan industri halal.

Antara usaha yang dirancang termasuk program ‘Umrah+’, untuk mempromosi kedua-dua negara sebagai destinasi persinggahan sebelum atau selepas mengerjakan umrah.

Terdahulu, Mirziyoyev diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Istiadat bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara, sebelum Mirziyoyev memeriksa kawalan kehormatan yang diketuai tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat).

Selesai upacara, beliau dan Datuk Seri Anwar, mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kemajuan serta hala tuju hubungan Malaysia dan Uzbekistan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini