comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia usul 3 langkah tingkatkan potensi ASEAN dalam perdagangan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 bersama delegasi Malaysia di Vientiane. – FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Malaysia mengemukakan tiga langkah dalam usaha meningkatkan potensi ASEAN memacu pertumbuhan perdagangan, hubungan pelaburan dan transformasi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk menguatkan asas ASEAN, memperkukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama regulatori.

‘’Walaupun rantau ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang luar biasa, perdagangan intra-ASEAN tetap rendah dalam beberapa dekad yang lalu.

‘’Saya percaya bahawa jika kita meneruskan langkah ini dengan tekad dan komitmen, ASEAN boleh mencapai ketahanan ekonomi dan berada di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang tahun 2030.” jelasnya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Kenyataan Negara dalam Sesi Pleno Ketua Negara ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan 45 di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

Menurutnya blok itu juga perlu mencipta, menyusun semula dan menyelaraskan ekonomi serantau bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing, sekali gus mengukuhkan rantaian bekalannya.

Kata Perdana Menteri, terdapat potensi besar untuk perkara itu ditingkatkan, terutama dengan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan ditandatangani pada 2025.

Justeru, beliau turut mengusulkan keanggotaan penuh Timor Leste dalam ASEAN dan menyatakan negara mampu memperluas dan mengembangkan sektor ekonomi serantau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini