comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia ulangi pendirian kutuk kekejaman, gesa gencatan senjata serta-merta di Palestin

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri ASEAN-EU ke-24 pada 2 Februari 2024 di Brussels, Belgium.- FOTO: Wisma Putra/ Facebook

KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi pendirian mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan keganasan yang dilakukan Israel terhadap penduduk Palestin dan menggesa gencatan senjata di Gaza dilaksanakan serta-merta.

Pendirian itu ditegaskan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-Kesatuan Eropah (AEMM) Ke-24 dan Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah (EU IPMF) Ketiga yang berlangsung di Brussels, Belgium selama tiga hari, bermula 1 Februari lalu.

Kementerian Luar berkata, ia adalah antara tiga isu utama yang ditekankan Malaysia pada AEMM, selain peralihan tenaga dan minyak sawit.

“Beliau turut menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes yang dibawa Afrika Selatan menentang Israel mengenai pelaksanaan Konvensyen 1948 berhubung Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid dan menggesa komuniti antarabangsa menyokong keputusan ICJ dan gencatan senjata serta-merta di Gaza.

“Beliau turut menyatakan Malaysia menyambut baik cadangan EU untuk mengadakan persidangan keamanan antarabangsa dalam usaha membangun pelan hala tuju ke arah penyelesaian dua negara untuk Palestin dan Israel.

“Pengakhiran pendudukan Israel selama beberapa dekad di Wilayah Palestin yang diduduki adalah asas untuk penyelesaian dua negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Luar berkata, Mohamad juga menegaskan keperluan mempertingkat kerjasama antara ASEAN dan EU dalam peralihan tenaga bagi mempercepat pelan peralihan tenaga ASEAN.

“Berhubung isu minyak sawit, Menteri Luar menggalakkan kedua-dua pihak ASEAN dan EU untuk memperkukuh kerjasama melalui rangka kerja saksama yang menitikberatkan isu alam sekitar tanpa mengabaikan keperluan pembangunan negara,” katanya.

Kementerian berkata, ketika Forum EU IPMF, Mohamad menyertai negara lain dari EU dan Indo Pasifik dalam berkongsi pandangan mengenai cabaran bersama dan bidang kerjasama yang berpotensi untuk diterokai.

Mohamad turut menyertai Perbincangan Meja Bulat mengenai “The Green Transition: Partnering for a Sustainable Future” dan mengakui peralihan hijau memainkan peranan penting dalam usaha mencapai pembangunan mampan serta penjagaan alam sekitar.

“Beliau juga menzahirkan komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) sifar bersih menjelang 2050, seperti yang termaktub dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan menyeru negara maju untuk menyokong usaha negara Selatan Global dalam melaksanakan peralihan kepada tenaga hijau,” katanya.

Pada sela masa AEMM dan EU IPMF, Mohamad juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari EU, iaitu dari Belanda, Belgium, Croatia, Denmark, Luxembourg, Perancis, Republik Czech, Slovenia dan Sepanyol, serta Menteri Luar Brunei, Sri Lanka dan Wakil Tinggi EU bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan pemegang taruh bagi membincangkan cabaran dan peluang berkaitan pelaburan, kelestarian dan komoditi, terutama minyak sawit Malaysia, selain bertemu diaspora Malaysia di Brussels dalam satu majlis ramah mesra.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini