KUALA LUMPUR: Ruang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK) kini terbuka luas untuk dimanfaatkan secara bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara itu kini menanti transisi kemajuan ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, lawatan beliau ke UK dimulakan dengan pertemuan bersama rakan sejawatan, Sir Keir Starmer, semalam.
“Hari yang penuh bermakna dan bersejarah di London buat delegasi Malaysia dimulakan dengan pertemuan akan sejawat, Keir Starmer. Seterusnya pelancaran produk oleh YTL Group UK terkait pembangunan utama Bristol Brabazon.
“Ruang pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan UK dibuka seluas-seluasnya dan menanti transisi kemajuan ekonomi untuk dimanfaatkan secara bersama,” katanya menerusi hantaran di laman sosial, hari ini.
Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.
UK adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara ialah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) setakat November 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.