comscore
Tumpuan :
Nasional

MALAYSIA–UAE: Mahu kolaborasi terokai pasaran Afrika

Oleh: Juliana Sharin

ABU DHABI: Malaysia melihat potensi berkolaborasi dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menerokai pasaran Afrika.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, UAE yang merupakan rakan dagang kedua terbesar rantau itu, masih mempunyai banyak ruang untuk dipertingkat.

Susulan lawatan kerja dua harinya di wilayah itu, Datuk Seri Anwar komited meningkatkan Perkongsian Strategik Malaysia-UAE meliputi pelbagai bidang termasuk sektor Tenaga Boleh Baharu (TBB) khususnya melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Yang penting bagi saya adalah keadaan sekarang apabila pelaburan itu tinggi, hasil pendapatan negara meningkat, peluang pekerjaan juga meningkat yang sangat mendesak, maknanya kita memerlukan ratusan bilion ringgit untuk membolehkan ratusan ribu anak-anak muda mendapat pekerjaan,” katanya dalam sidang media bersama media Malaysia.

Kunjungan beliau dan deligasi yang disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke negara teluk itu membuahkan hasil pelaburan bernilai RM40.6 bilion terkait sektor TTB, aeroangkasa dan logistik.

Ia termasuk yang terbesar melibatkan pelaburan bernilai RM37.8 bilion bagi membangunkan projek TTB berkapasiti 10GW di antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR).

Katanya dengan kemasukan MASDAR, ia akan mendorong Malaysia bergerak jauh ke depan dalam Pembangunan berkaitan TTB.

“Semuanya minta kita percepatkan proses kerana negara-negara lain lebih pantas. Sebab itu saya tidak dengar langsung dengan alasan-alasan titik bengit, dan kita putuskan bukan senang nak meraih (pelaburan) kerana negara lain beri bermacam dan pelbagai insentif kadang lebih baik dari negara kita tetapi kerana kita dapat menarik minat mereka, mereka datang jadi tugas kita jaga mereka” tambahnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini