Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkmenistan akan mewujudkan suruhanjaya bersama bagi memperluas tahap kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk industri minyak dan gas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disepakati dalam pertemuannya bersama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow hari ini.
“Menteri Luar kedua-dua negara akan meneruskan usaha berkenaan pada awal tahun depan untuk menjayakan kerjasama bersama ini,” katanya pada sidang media bersama Berdimuhamedow, di sini.
Tambahnya, sejak lawatan terakhir pada tahun 2016 oleh bekas Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedow yang kini pemimpin kebangsaan, Malaysia telah menyaksikan pengukuhan kerjasama tersebut dan sokongan serta kesediaan republik terbabit terhadap industri negara terutamanya PETRONAS Carigali.
Pada masa sama, Anwar menyampaikan penghargaan dan memberi jaminan kepada Berdimuhamedow bahawa kerjasama tersebut sangat bermakna untuk memastikan manfaat bersama dan kejayaan bagi kedua-dua negara.
Berdimuhamedow dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam, iaitu lawatan pertamanya ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama dua hala dalam sektor tenaga dan menyatakan pengalaman positif serta berkekalan PETRONAS dalam bidang terbabit.
Mereka komited untuk membina perkongsian yang kukuh dan dalam jangka panjang dengan fokus yang kuat pada industri minyak dan gas bertujuan bagi pertumbuhan berterusan serta kemakmuran bersama.
“Ini mengukuhkan komitmen kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu dalam semangat saling memberi manfaat,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Anwar dan Berdimuhamedow turut bersetuju bahawa perkongsian ekonomi antara Turkmenistan dan Malaysia mempunyai potensi yang amat besar.
Dalam merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya bagi kedua-dua negara, kedua-dua pemimpin menyatakan kesediaan untuk mengembangkan perkongsian ekonomi berdasarkan prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama.
Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan kesediaan bersama untuk menubuhkan Majlis Perniagaan Turkmenistan-Malaysia.
Terdahulu, Anwar dan Berdimuhamedow menyaksikan pertukaran tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) dan nota perjanjian antara lain berkaitan pemansuhan sebahagian syarat visa bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi serta kerjasama dalam bidang industri penerbangan dan pelancongan.
Ini termasuk protokol di antara PETRONAS dan entiti kerajaan Turkmenistan, Turkmennebit mengenai Terma Komersial Perjanjian Perkongsian Pengeluaran Blok 1 yang Baharu, Sektor Turkmenistan di Laut Caspian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.