Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkmenistan menegaskan pendirian bahawa sebarang cabaran antarabangsa termasuk isu Palestin perlu diselesaikan menerusi cara damai.
Dalam kenyataan bersama di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow, kedua-dua pemimpin mahu inisiatif damai itu perlu mengikut sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan.
“Kedua-dua pemimpin menyeru akses bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin tidak dihalang. Mereka juga menekankan kepentingan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap cabaran tersebut dalam membawa keamanan dan kestabilan ke rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pertemuan dua hala kedua-dua pemimpin sempena lawatan rasmi dua hari Berdimuhamedow ke Malaysia bermula semalam.
Ini adalah lawatan pertama Berdimuhamedow ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.
Tambah kenyataan bersama itu lagi, Anwar dan Berdimuhamedow menekankan kepentingan usaha bersama untuk membina iklim keyakinan dan saling memahami serta mengukuhkan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Prinsip tersebut selaras dengan kedua-dua Zon Aman, Bebas dan Berkecuali ASEAN (ZOPFAN) serta inisiatif Turkmenistan untuk Zon Aman, Kepercayaan dan Kerjasama di Asia Tengah.
“Dalam Malaysia bersiap sedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, sokongan yang diberikan oleh Turkmenistan akan memperkukuhkan lagi visi bersama ini, mempromosikan saling memahami, kemerdekaan serantau dan usaha keselamatan bersama.
“Malaysia menggalakkan Turkmenistan untuk mempertimbangkan penyertaan dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC),” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pengisytiharan tahun 2025 sebagai ‘Tahun Antarabangsa Keamanan dan Kepercayaan’ mengikut Resolusi Perhimpunan Agung PBB 78/266 pada 21 Mac lalu.
Selain itu, Anwar dan Berdimuhamedow menekankan kepentingan inisiatif yang dilancarkan oleh kedua-dua negara di peringkat antarabangsa dan serantau seperti jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025 dan Forum Antarabangsa di Ashgabat yang dianjurkan oleh Turkmenistan pada 11 Oktober lalu yang didedikasikan sempena ulang tahun ke-300 kelahiran penyair republik tersebut, Magtymguly Pyragy.
Dalam merealisasikan potensi penuh hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin menyedari kepentingan untuk mengekalkan hubungan berkala serta perbincangan dan koordinasi rapat di pelbagai peringkat.
Ini termasuk mempromosikan pertukaran idea dan pendapat yang berterusan mengenai isu-isu antarabangsa di luar mesyuarat dan persidangan antarabangsa seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan rangkaian organisasi antarabangsa penting yang lain.
Sementara itu, Anwar menerima undangan Berdimuhamedow untuk melakukan lawatan balas ke Turkmenistan pada tarikh yang akan diputuskan melalui saluran diplomatik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.