Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Turkiye perkukuh hubungan, meterai 11 MoU pelbagai bidang

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye memperkukuh hubungan strategik dengan memeterai 11 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan pelbagai bidang penting.

MoU tersebut meliputi sektor tenaga, pengurusan bencana, hubungan diplomatik, penerokaan Artik dan Antartika, serta pertahanan.

Selain itu, komunikasi, bandar pintar, keselamatan trafik, perlindungan pengguna, perolehan aset, serta kerjasama dalam pengurusan media.

Sesi pertukaran dokumen disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Malaysia diwakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, serta pegawai kanan kerajaan dan agensi berkaitan.

Terdahulu, Erdogan yang dalam lawatan rasmi dua hari sejak semalam, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar.

Lawatan ini mengukuhkan hubungan Malaysia-Turkiye, terutama dalam perdagangan yang mencatat jumlah RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus dari 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini