Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
LIMA: Sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) tahun depan, Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha pemusatan ASEAN sebagai satu pasaran tunggal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sasaran itu boleh dicapai melalui kerjasama konkrit terutama dalam sektor kerajaan dengan perniagaan yang boleh dihubungkan melalui Kaukus ASEAN di dalam Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).
“Rantau ini adalah rantau yang paling aman di dunia, kecuali beberapa isu kecil melibatkan Myanmar dan kebetulan merupakan ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia.
“Oleh itu, kita perlu memanfaatkan sumber yang ada, bekerjasama sebanyak mungkin kerana seperti yang anda lihat, dalam aspek pendigitalan berkaitan keselamatan makanan, peralihan tenaga, kita semua berada di landasan yang sama dan ini sangat luar biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Dialog Ekonomi Peringkat Tinggi ABAC bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di sini.
Hadir sama ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Dialog itu disertai Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam selaku moderator yang turut disertai Pengerusi ABAC Indonesia, Anindya Novyan Bakrie.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menggalakkan peranan aktif kaukus tersebut bagi menyokong komitmen ASEAN untuk mencapai kemampanan pertumbuhan ekonomi yang berterusan bagi mengurangkan ketidakseimbangan kekayaan.
“Meskipun secara teknikal kita berkongsi tetapi sebenarnya kita bekerjasama. Tiada persoalan sama ada Indonesia sebagai Pengerusi (Kaukus ASEAN-BAC) atau Malaysia sebagai Pengerusi. Aturan ini unik dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia berkesan.,” katanya.
Anwar berada di ibu negara Peru itu sempena lawatan rasmi sulungnya ke rantau Amerika Latin, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.