KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat meja bulat berkaitan pelesenan perkhidmatan dalam talian dalam kalangan negara anggota ASEAN pada Januari 2025.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Yang Bertanggungjawab bagi Maklumat ke-21 (SOMRI ke-21) yang berlangsung di Ha Long, Vietnam pada Rabu.
Ia susulan pembentangan kertas kerja berhubung cadangan mengadakan sesi berkenaan bagi mendalami pandangan berkait pelesenan perkhidmatan dalam talian menggunakan platform media sosial dan aplikasi mesej dalam kalangan negara ASEAN dibentangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada mesyuarat itu.
“Negara anggota ASEAN sebulat suara bersetuju dan mengalu-alukan cadangan SKMM untuk mengadakan mesyuarat meja bulat di Kuala Lumpur pada Januari 2025,” katanya menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya.
Mesyuarat meja bulat itu, katanya, akan menyediakan platform untuk berkongsi perspektif, pengalaman dan cabaran berkaitan dengan perlesenan perkhidmatan dalam talian dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Mohamad Fauzi berkata, hasil laporan mesyuarat meja bulat itu akan dimasukkan dalam Garis Panduan Media Sosial untuk ASEAN yang telah diangkat oleh Malaysia untuk meningkatkan kawal selia dan tadbir urus dalam talian.
Sementara itu, katanya, semasa mesyuarat SOMRI ke-21 itu, beliau telah berkongsi usaha Malaysia untuk mentransformasi media selaras dengan Visi AMRI (Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat) ASEAN 2035 dan Deklarasi Da Nang.
“Tiga matlamat utama digariskan Malaysia ialah menggalakkan teknologi untuk transformasi media dan kebolehcapaian, memerangi maklumat palsu dan meningkatkan daya tahan media dan memastikan inklusiviti untuk semua komuniti,” katanya.
Menurutnya, tiga inisiatif ditekankan adalah perkhidmatan digital dan komunikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pembabitan media sosial, program literasi digital untuk memerangi maklumat palsu dan kandungan media inklusif, terutama untuk kumpulan yang kurang mendapat perhatian.
Beliau berkata, Malaysia turut menekankan hala tuju masa depan seperti bekerjasama dengan rakan dialog ASEAN untuk menghasilkan pelbagai kandungan, mengukuhkan peraturan media sosial untuk memastikan ketelusan dan meningkatkan kapasiti penyiar untuk mempamerkan kepelbagaian budaya ASEAN.
“Saya yakin dengan kerjasama seiringan, kita dapat bersama-sama mewujudkan ASEAN yang lebih inklusif,” katanya.