Tumpuan :
Nasional

Malaysia tolak cadangan Trump usir rakyat Palestin

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Malaysia menolak sebarang cadangan tidak masuk akal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan atau mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia sangat kesal dengan kenyataan itu yang jelas melanggar hak asasi manusia, piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.

“Pagi ini Wisma Putra sebagai jurucakap kerajaan Malaysia, kita telah mengeluarkan kenyataan menegaskan bahawa kita menentang dan kita tidak bersetuju tentang dacangan untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin sendiri telahpun menyatakan bahawa mereka tidak mahu berganjak kelaur daripada tanah air mereka,” kataya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah berhubung pendirian kerajaan terhadap kenyataan Trump untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa dari negara mereka.

Katanya lagi, Malaysia sudah sekian lama menyokong perjuangan Palestin untuk hak mereka mendapat sebuah negara merdeka.

Justeru, cadangan Trump itu katanya jelas bertentangan dengan pendirian negara selama ini.

Selain itu, beliau memaklumkan Malaysia juga akan mengeluarkan kenyataan bersama ASEAN setelah mendapat persetujuan sebulat suara.

“Kita akan keluarkan juga kenyataan bersama ASEAN, kerana ASEAN ini kita tidak boleh nak keluarkan (kenyataan) sewenang-wenangnya.

“ASEAN ini merupakan blok yang memerlukan konsensus, kita memerlukan satu kebulatan suara jika kita nak buat keputusan waima sekalupun nak membuat kenyataan,” katanya.

Selasa lalu, Trump berikrar bahawa AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini