Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Perluasan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Timor Leste menjadi fokus utama demi manfaat bersama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jaringan hubungan diplomatik kedua-dua negara ini akan diperkukuhkan melalui pelbagai bidang.
“Ia termasuk kerjasama pelbagai bidang strategik seperti perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri halal, pendidikan, pelancongan, serta pengukuhan hubungan serantau.
Menerusi hantaran di media sosial X, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesyuarat Dua Hala bersama Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao di Putrajaya.
Beliau turut berharap perbincangan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat di kedua-dua buah negara.
Terdahulu, beliau bersama barisan kabinet hadir ke Istiadat Sambutan Rasmi Sempena Lawatan Rasmi Xanana Gusmao di Dataran Perdana Putrajaya.
Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama Xanana Gusmao ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Timor-Leste pada Julai tahun lepas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.