PETALING JAYA:Perdana Menteri mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Goldman Sachs Group Inc. berhubung peranan syarikat itu dalam skandal berbilion dolar melibatkan One Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam temubual dengan CNBC, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menimbang beberapa pilihan selain rundingan dengan firma Wall Street berkenaan.
“Saya tidak menolak kemungkinan pelaksanaan prosiding semula menerusi tindakan undang-undang,” katanya dalam temu bual dengan CNBC yang disiarkan hari ini.
Kata Anwar isu itu adalah kompleks dan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat membabitkan kos yang tinggi.
Tahun 2020, Goldman Sachs mengakui peranannya dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan Amerika Syarikat.
Januari lalu, Anwar menuntut bank Amerika Syarikat itu menghormati penyelesaian pada 2020 atas peranan pengumpulan dana 6.5 bilion dolar Amerika pada 2012 dan 2013 bagi 1MDB.
Penyelesaian yang diumumkan tiga tahun lalu memerlukan Goldman Sachs membayar 2.5 bilion dolar Amerika sambil menjamin pemulangan semula harta 1MDB bernilai 1.4 bilion dolar Amerika yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.
Sebagai balasan kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap bank itu.
Goldman Sachs juga perlu membuat pembayaran interim 250 juta dolar Amerika jika Malaysia tidak menerima sekurang-kurangnya 500 juta dolar Amerika dalam harta dan hasil menjelang Ogos tahun lalu.