Tumpuan :
Nasional

Malaysia tidak mahu OIC hanya buat kenyataan kutuk Israel – Zambry

FOTO: Zambry Abd. Kadir / Facebook

RIYADH: Malaysia tidak mahu mesyuarat dan pertemuan-pertemuan dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan Palestin sekadar berakhir dengan kenyataan mengutuk tanpa mengemuka langkah konkrit untuk bergerak ke hadapan.

Sebaliknya, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perlu ada penegasan dari negara-negara anggota OIC supaya gencatan senjata disegerakan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Palestin ketika ini, dihentikan.

“Kita tidak mahu mesyuarat, pertemuan demi pertemuan (OIC), tetapi ia tidak memberikan apa-apa kesan, tidak menghasilkan apa-apa.

“Perlu ada penegasan. Ada langkah-langkah ke hadapan dari negara-negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata, untuk segera dihentikan serangan dan pembunuhan kejam oleh rejim (Israel) yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau menghadiri mesyuarat menteri-menteri luar OIC bersempena dengan Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan yang akan berlangsung hari ini di ibu negara Arab Saudi itu.

Dihoskan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sidang kemuncak itu akan turut dihadiri oleh pemimpin dan wakil negara anggota OIC.

Sidang kemuncak tergempar itu hasil kerjasama utuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin OIC.

Perdana Menteri dijangka tiba di Riyadh hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu, dan beliau dijangka menyuarakan ketegasan pendirian Malaysia berkenaan isu Palestin yang berlarutan sejak sekian lama.

Zambry berkata, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir kedua-dua sidang kemuncak itu, yang diharap dapat memberi kesan besar.

Katanya, Malaysia mahu tindakan yang benar-benar konkrit untuk menyelesaikan masalah rakyat Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat yang mula diserang oleh rejim Israel.

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak kira-kira sebulan yang lepas telah membunuh lebih 11,000 orang, dengan sebahagian besar daripada yang terbunuh itu penduduk awam, terutamanya wanita dan kanak-kanak. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini