Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan bertindih di Laut China Selatan atau Nine-Dash Line yang dikeluarkan oleh China.
Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, kerajaan menerusi kementeriannya akan sentiasa menggunakan saluran bersesuaian bagi menyuarakan hak Malaysia terutamanya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Bahawa kita (Malaysia) memang tidak iktiraf Nine-Dash Line yang telah dikeluarkan negara China, oleh itu kita akan sentiasa gunakan saluran bersesuaian untuk menyuarakan hak kita.
“Dalam Kepengerusian ASEAN juga, kita akan jadikan isu ini tumpuan tahun hadapan,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia juga sedang berusaha menyelesaikan isu berkaitan Laut China Selatan menerusi beberapa siri mesyuarat Tatalaku Laut China Selatan.
“Di peringkat ASEAN-China Joint Working Group, kita jadi co-host. Ada empat mesyuarat berlangsung di Bali (Indonesia), Bangkok (Thailand) dan China dan hari ini 27 hingga 29 November mesyuarat ini di Vientiaen (Laos) untuk memuktamadkan Tatalaku Laut China Selatan.
“Ia perlu dihormati semua negara ASEAN termasuk China juga (kerana) telah memertai Declaration of Conduct in South China Sea pada tahun 2002. Sekarang ktia dalam proses memuktamadkan tatalaku ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut ujarnya, Malaysia kekal tegas dengan pendirian mempertahankan kedaulatan perairan negara dan mengamalkan dasar penyelesaian masalah secara aman dan tidak provokatif.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim mengenai isu Laut China Selatan di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.