KUALA LUMPUR: Malaysia tidak tergolong dalam kalangan 14 negara yang digantung visa berbilang kemasukan (MEV) oleh Kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu menunjukkan kepercayaan Kerajaan Arab Saudi khususnya Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfig Fawzan Al-Rabiah terhadap pengurusan Tabung Haji.
“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Kerajaan Arab Saudi, saya percaya yang keputusan ini dibuat berdasarkan kepada hasrat yang murni.
“Di pihak Tabung Haji, kita akan sentiasa memberikan perkhidmatan dan kerjasama yang terbaik.
“Kita juga sentiasa mengingatkan jemaah haji kita termasuklah bagi tahun 1446 Hijri ini supaya terus mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan 25 Tan Kurma sempena Ramadhan 1446H di Atase Agama Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi, di sini, hari ini.
Turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim.
Terdahulu, Arab Saudi mengumumkan rombakan dasar visa besar-besaran dengan mengehadkan pelancong daripada 14 negara kepada visa kemasukan tunggal untuk pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga bermula pada 1 Februari.
Polisi visa itu akan menggantung visa berbilang kemasukan (MEV) satu tahun untuk negara Algeria, Bangladesh, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im memaklumkan surat tawaran mengerjakan haji sudah diedarkan kepada keseluruhan 31,600 jemaah tahun ini.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum mendapat bilangan jemaah yang menolak tawaran itu.
Beliau juga mengesahkan bahawa pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Arab Saudi supaya memberikan 10,000 kuota tambahan jemaah haji bagi tahun ini.
“Setakat hari ini, kuota itu (sama) seperti mana yang sudah saya umumkan iaitu sebanyak 31,600.
“Saya sudah bercakap sendiri dengan rakan sejawat saya, Dr Tawfig untuk memberikan tambahan kota sebanyak 10,000.
“Kita sudah buat rayuan dan sudah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Arab Saudi dan mereka akan buat keputusan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.