Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Thailand sepakat pastikan projek pembangunan di sempadan siap pada masa ditetapkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di Putrajaya hari ini.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand bersetuju memastikan semua projek yang disepakati bersama di sempadan antara kedua-dua negara siap pada masa yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek itu adalah penjajaran jalan raya menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand.

Ini termasuk pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang, Kelantan dengan Sungai Golok di Narathiwat.

“Memang terdapat kemajuan besar dalam penjajaran jalan raya, ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao serta pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang dengan Sungai Golok di Thailand.

“Projek ini pastinya akan meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan banyak isu seperti pengurusan air serta usaha mitigasi banjir di Sungai Kelantan, Sungai Golok serta kawasan di selatan Thailand dan utara Malaysia, khususnya di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dan Paetongtarn mengadakan mesyuarat dua hala sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand itu ke Malaysia selama dua hari sejak semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia komited memastikan proses dialog di selatan Thailand dapat membuahkan hasil dan seterusnya melaksanakan rancangan komprehensif bersama ke arah keamanan.

Tegasnya, sokongan Malaysia terhadap dialog dan pembangunan itu bagi menjamin keamanan di selatan Thailand serta di utara Malaysia.

“Seperti yang dipersetujui, keamanan dengan pembangunan adalah keutamaan. Jadi bagi memastikan keamanan dan pembangunan berlaku di selatan Thailand dan utara Malaysia, wilayah-wilayah ini juga memerlukan pelaburan tambahan,” katanya.

Sementara itu, Paetongtarn berkata, isu bencana banjir membabitkan kedua-dua negara khususnya di sempadan perlu ditangani dengan baik.

“Kami akan bekerjasama rapat antara kedua-dua negara bagi meningkatkan jaringan jalan raya dan landasan kereta api lebih baik di sempadan.

“Kami juga akan meningkatkan dan mempermudahkan perdagangan di sempadan serta interaksi antara rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini