Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Thailand perkukuh kerjasama isu sempadan dan tebatan banjir

Foto: Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Isu sempadan dan inisiatif tebatan banjir antara yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawat dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra dalam memperkukuh kerjasama dua hala.

Perbincangan itu berlangsung menerusi perbualan telefon dengan beberapa perkara penting turut dibincangkan dengan lebih teliti.

“Khususnya isu di sempadan seperti di Sungai Golok membabitkan komitmen Kerajaan Thailand dengan dana untuk projek pembangunan pasca banjir.

“Turut dibincangkan adalah komitmen kerjasama lebih teguh berkaitan kawalan saliran air dalam mengurangkan risiko banjir dan inisiatif tebatan banjir baharu bagi pengurusan dan perlindungan pantai,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebook.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan komitmen berkaitan proses dialog damai di Selatan Thailand termasuk pelantikan Ketua Perunding baharu.

“Insya-Allah, Malaysia dan Thailand akan terus berusaha mencapai kejayaan bersama-sama untuk kedua-dua negara dan juga rantau ASEAN ini,” tambahnya.

Loading...
Terkini