Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Thailand komited realisasikan jalan baharu 

Oleh: Kumaran Rajamoney

BUKIT KAYU HITAM: Kerajaan akan merealisasikan inisiatif jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke ICQS Sadao, di selatan Thailand dalam masa terdekat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan memaklumkan, Kerajaan Malaysia dan Thailand secara dasarnya telah bersetuju berhubung jajaran reka bentuk dan isu teknikal yang berkaitan, agar projek itu dapat dilaksanakan.

“Ia bagi memastikan tahap kesaling hubungan antara kedua-dua negara dapat ditingkatkan.

‘Jaringan jalan penghubung ini terdiri daripada satu jalan utama 6 lorong 2 hala (K3-3)sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter.

“Projek jalan ini juga melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Regimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan Pagar Keselamatan yang terkesan daripada jajaran jalan ini,” katanya.

Kementerian Kerja Raya tambahnya yakin dengan terbinanya jajaran baharu itu, keselesaan dan keselamatan pengguna dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi Kempen MyJalan.

Pada masa yang sama, jalan baharu itu dijangka akan meningkatkan kegiatan ekonomi kedua-dua negara.

Keputusan itu dibuat berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ICQS Sadao semalam, atas jemputan rasmi Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini