Tumpuan :
Nasional

Malaysia tetap dengan dasar sifar plastik sekali guna – Nik Nazmi

Nik Nazmi merasmikan The Forgotten Stripes: Tapir Launch & Exhibition di INTI International College di sini hari ini. – FOTO: NSTP

SUBANG: Malaysia akan tetap dengan Dasar Plan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah mengisytiharkan perang terhadap penyedut minuman kertas dan mendesak untuk kembali kepada plastik.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, gesaan terbaharu Trump itu disifatkan sebagai pilihan setiap negara sama ada meneruskan kempen bebas plastik atau sebaliknya.

“Itu saya ingat adalah pilihan negara masing-masing, tetapi bagi Malaysia Dasar Plan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030.

“Tetapi kita juga tahu ada banyak sektor, misalnya perubatan kita susah nak elakkan kegunaan plastik sekali guna contohnya Pakaian perlindungan diri (PPE), picagari untuk ambil darah dan sebagainya dimana mahu tidak mahu kena pakai buang.

“Situasi ini tidak dapat kita elak, maka kita kena pakai plastik secara lestari,” jelasnya.

Tambah Nik Nazmi, dari sudut Malaysia pula kadar kitar semula perlu dipertingkatkan terutama dalam mengelakkan penggunaan straw plastik.

“Kadar kitar semula kena dipertingkatkan, tetapi penyedut minuman plastik bagi kita itu kita dapat menghala kepada sifar sebab benda itu tidak perlu sebab ada alternatif lain.

“Kita akan ada dasar kita sendiri, kita ada senarai plastik perlu elak digunakan, jadi definasi ini akan jadi panduan .Pada masa sama dibawah Rancangan Malasyia ke-13 (RMK 13), kementerian kita juga akan lihat pada kemungkinan kajian kebolehlaksanaan satu perundangan nasional berkaitan plastik dan sisa plastik.

“Sebab sekarang,(kita) banyak berharap inisiatif lokal, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, ia tidak sekata,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Trump semalam yang mengisytiharkan perang terhadap straw kertas.

Terdahulu, Nik Nazmi merasmikan The Forgotten Stripes: Tapir Launch & Exhibition di INTI International College di sini hari ini.

Trump menandatangani perintah yang mengarahkan jabatan serta agensi kerajaan AS untuk tidak lagi memperoleh atau menggunakan straw kertas pada masa hadapan, serta merangka strategi nasional bagi menamatkan penggunaan straw kertas.

Untuk rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 9.2 bilion tan plastik dihasilkan sejak 1950-an.

Jumlah plastik yang dihasilkan itu bersamaan berat sehingga 910,000 Menara Eiffel yang sebahagiannya menjadi sisa di tapak pelupusan dan mencemari lautan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini