KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Memaklumkan langkah itu, Perdana Menteri berkata, cadangan terbabit dikemukakan Pasukan Khas Semakan Undang-Undang bagi kes berkenaan.
“Pertama, meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice- ICJ) berkaitan isu ini.
“Kedua, mesyuarat dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008 dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, selepas Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – BERITA HARIAN