Oleh: Azwaliza Azman
PETALING JAYA: Malaysia akan terus komited menyuarakan pendirian tegas negara mengenai nasib rakyat Palestin di pentas dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.
Perkara itu dizahirkannya menerusi perbualan telefon dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Usai perbualan dengan PM Shehbaz, saya juga menerima panggilan telefon daripada sahabat baik saya Presiden Recep Tayyip Erdogan.
“Saya juga menggunakan peluang ini untuk sekali lagi mengundang Presiden Erdogan untuk ke Malaysia.
“Kami gunakan kesempatan ini untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Palestin. Saya nyatakan bahawa komuniti antarabangsa perlu segera mendesak pembantaian dan penghapusan rakyat Gaza dihentikan.” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut Datuk Seri Anwar, Presiden Erdogan turut menzahirkan harapan agar hubungan antara kedua-dua negara dapat diperhebat terutama dalam bidang perdagangan dan pertahanan.
“Kami berbalas ucapan Eid Mubarak dan mendoakan agar masing-masing terus diberi kesihatan yang baik untuk memimpin negara.” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.