comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia terima sokongan, pengiktirafan mengagumkan di Jerman – PM

Foto: Anwar Ibrahim / Facebook

BERLIN: Malaysia menerima sokongan dan pengiktirafan mengagumkan daripada pemimpin industri dan perniagaan di Jerman dengan pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan dan pengiktirafan itu turut diterima daripada kalangan pemimpin politik.

“Kita menerima sokongan dan komitmen yang sangat mengagumkan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik malah juga perniagaan kepada Malaysia yang secara relatifnya merupakan ekonomi yang lebih kecil, negara lebih kecil,” katanya pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di sini, pada Selasa.

Semalam, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya di Jerman Canselor Olaf Scholz.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman, terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian di samping bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin dan isu global lain yang mempunyai kepentingan bersama.

“Pertukaran pandangan itu amat bersifat berterus-terang, sangat membuahkan hasil dan meluas,” katanya.

Delegasi ke Jerman juga mendapat sokongan hebat daripada kapten-kapten industri.

“Saya diberitahu oleh Tengku (Datuk Seri) Zafrul (Abdul Aziz) bahawa jarang sekali ada pihak yang menerima (kehadiran) barisan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), kapten industri yang mengagumkan daripada jumlah besar yang datang menemui kita sebahagiannya hadir dalam kumpulan dan ada secara individu, semua pertukaran (pandangan) ini sangat berguna untuk kita,” katanya.

Datuk Seri Anwar berkata Malaysia mencatatkan pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion semasa lawatan di Jerman.

Pelaburan berpotensi itu hadir daripada pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan.

Beliau berkata semua itu adalah mungkin dengan disokong oleh kestabilan politik yang dimiliki Malaysia dan kestabilan politik adalah penting bagi kalangan pelabur.

“Rakyat mesti mempunyai keyakinan bahawa kita akan kekal selama bertahun-tahun. Kestabilan politik amat penting untuk kerajaan membawa dasar yang betul bagi membolehkan Malaysia menerima lebih banyak pelaburan,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, lebih 35 kapten industri dan perniagaan menyertai mesyuarat meja bulat dengan Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang berpangkalan di Malaysia, dengan 65,000 pekerjaan diwujudkan.

Jerman menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak 2000, manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman daripada kalangan negara anggota Asean.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (US$13.62 bilion) pada 2022.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini