Oleh: Afrina Romzi
SHANGHAI: Malaysia menerima penghormatan besar oleh China dalam siri lawatan kerja ketiga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu yang bermula 4 November hingga 7 November ini.
Menurut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, penghormatan tinggi itu diberikan kepada Anwar dan delegasi Malaysia selepas Presiden China, Xi Jinping akan menganjurkan makan malam, sebaik selesai kunjungan hormat di The Great Hall of People pada hari terakhir lawatan kerja Perdana Menteri.
“Ini merupakan satu penghormatan yang diberikan oleh Presiden Xi Jinping. Beliau juga telah bersetuju untuk menghoskan satu majlis makan malam untuk Perdana Menteri dan ini satu penghormatan yang tinggi kepada Malaysia kerana kedua-dua pemimpin ini bukan satu ‘level’ yang sama.
“Macam saya maklumkan tadi ini, ini merupakan lawatan kerja dan Perdana Menteri sekarang jumpa Presiden Jinping sebagai ketua negara, sementara beliau adalah ketua kerajaan,” katanya pada sidang media bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke China, hari ini.
Tambah beliau, hubungan Malaysia dan China amat akrab, matang dan mempunyai persefahaman yang baik.
“Kita tidak menjadikan sesuatu isu itu akan memberi kesan kepada semua, mungkin kita ada perbezaan pendapat dalam satu isu tetapi ini tidak mengganggu gugat kerjasama dalam bidang lain termasuk perdagangan.
“Saya rasa China menghargai pendirian kita yang bersifat neutral. Kita tak mahu pergolakan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan Perdana Menteri akan menjemput Presiden Xi Jinping untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.