Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima ketibaan dua kapal Tentera Laut Jerman di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKCT) iaitu sebahagian daripada German Navy Indo-Pacific Deployment 2024.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, ia membabitkan kapal frigat FGS Baden-Württemberg dan kapal sokongan FGS Frankfurt Am Main mulai hari ini hingga 18 Oktober.
“Semasa berlabuh di PKCT, kapal-kapal tersebut akan menghoskan majlis resepsi, sesi dialog dengan pemain industri, lawatan berpandu ke kapal dan interaksi antara kru dengan Pusat Hidrografi Nasional Tentera Laut Diraja Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Ketika pelayaran, kapal tersebut akan mengadakan latihan passing exercise (PASSEX) dengan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di Lumut, Perak.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, kunjungan kapal Tentera Laut Jerman itu mengesahkan hubungan erat antara Malaysia dan Jerman, yang menyaksikan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi khasnya lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman dari 10 hingga 15 Mac lalu.
Semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala Canselor Jerman, Olaf Scholz dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeyer dengan perbincangan tertumpu kepada kerjasama ekonomi yang semakin erat.
“Menerusi kunjungan ini dan kerjasama sedia ada yang berterusan dalam pelbagai bidang, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jerman,” menurut kenyataan itu.
Kapal terbabit dijadual berlepas pada 18 Oktober ini ke Laut Andaman dan seterusnya ke Lautan Hindi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.