Tumpuan :
Nasional

Malaysia tambah 10 lagi kontena bantuan ke Gaza 

FOTO: Nik Nazmi/ Facebook

KUALA LUMPUR: Malaysia menambah 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin menjadikan keseluruhan kontena yang dihantar sebanyak 110 kontena.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi itu di Kaherah, Mesir semalam berkata, kontena itu mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

“Penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan Sani Araby Abdul Alim Araby.

Penghantaran 100 kontena yang merangkumi 1,358 tan barangan ke Gaza sebelum ini telah dilancarkan Ahmad Zahid di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lepas.

FOTO: Nik Nazmi/ Facebook

Pada hantaran itu, Nik Nazmi berkata, hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Mesir termasuk peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar.

Beliau juga menegaskan Malaysia akan kekal lantang dan “punching above our weight” dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

“Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini