Tumpuan :
Nasional

‘Malaysia-SuluCase’ medium kongsi fakta sahih isu tuntutan Sulu

Oleh Khairul Rizuan Azizan

PUTRAJAYA: Malaysia mengambil langkah proaktif melancarkan laman web khas Malaysia-Sulucase.gov.my bagi membolehkan dunia mengetahui sejarah dan perkembangan semasa tuntutan Kumpulan Sulu.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha itu adalah rentetan daripada beberapa inisiatif kerajaan sebelum ini yang turut mengambil tindakan perundangan, melalui media dan juga hubungan diplomatik dalam menangani isu itu.

“Ia adalah bagi memberikan fakta yang betul dan sahih, menangkis segala tohmahan tuntutan tersebut dan bagi membolehkan rakyat Malaysia dan rakyat antarbangsa mengikuti perkembangan kes ini secara tulus dan benar.

“Laman sesawang ini akan diperkemaskan dan ditambah maklumat dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes ini,” katanya ketika pelancaran laman web berkenaan di Putrajaya.

Turut hadir, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Tambah Datuk Seri Azalina, tuntutan daripada waris Kesultanan Sulu itu memberi ancaman kepada keselamatan negara malah mereka juga membuat kenyataan tidak benar, memutar belit fakta sejarah dan memburukkan Malaysia.

Ujarnya, laman sesawang itu boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman dan Bahasa Tagalog.

“Ini bagi membolehkan pelbagai pihak dan media antarabangsa memahami isu ini dan mengetahui kebenaran berhubung isu ini,” katanya.

Loading...
Terkini