comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sudah serah jemputan rasmi kepada China hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC

PUTRAJAYA: Seperti dijanjikan, Malaysia sudah menyerahkan secara rasmi jemputan kepada China untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Teluk (ASEAN-GCC) tahun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Pada mesyuarat (Jemaah Menteri) hari ini, Perdana Menteri memaklumkan perkembangan lawatan beliau dan delegasi ke China dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri Li Qiang dan Presiden Xi Jinping.

“Banyak perkara sudah dibincangkan dan juga satu jemputan ke Sidang Kemuncak ASEAN-GCC pada tahun depan, sudah dipanjangkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Fahmi berkata, undangan yang disampaikan itu membuktikan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, bebas untuk berdagang dan bersahabat dengan mana-mana negara.

Katanya, hubungan baik dengan negara luar, sudah pasti memberikan limpahan positif bukan sahaja kepada Malaysia, malah negara anggota ASEAN.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pada mesyuarat Jemaah Menteri, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau bersama delegasi akan berangkat ke Mesir esok, sempena lawatan rasminya.

“Pada 10 dan 11 November ini pula, Perdana Menteri akan menghadiri sidang kemuncak negara-negara Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi berkaitan isu Palestin.

“Selepas itu, Perdana Menteri akan kembali ke Mesir untuk menyambung lawatan rasmi beliau, diikuti ke Peru untuk sidang APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan Brazil untuk Sidang Kemuncak G20,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini