comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia stabil kini menju ke arah sebuah negara “Mansang!” – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak.

Oleh: Safwan Sawi

MIRI: “Agi Idup Agi Ngelaban”, “Segulai Sejalai” dan kini negara menuju ke arah sebuah Malaysia “Mansang!”, itu kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan bahasa Iban membawa bermaksud ‘bergerak maju ke hadapan’ dalam menterjemahkan kestabilan dan keharmonian negara ketika ini.

Rakyat Sarawak yang sinonim dengan semangat “Mansang” itu ujarnya lagi dapat dilihat menerusi kekuatan ringgit serta kestabilan politik yang dikecapi sejak dua tahun lalu tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan sebaliknya perlu dimanfaat sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.

“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbedaan faham agama,”

“Bahasa suku kaum “Segulai Sejalai” dah jadi bahasa nasional dan juga zaman “Mansang” padahal saya Melayu saya cakap bahasa Melayau tapi saya ini keluarga besar Malaysia yang harus kita hidupkan ada semangat tolak ansur dan hormat menghormati,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang, di sini, hari ini.

Turut hadir Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersama kira-kira 100,000 pengunjung yang hadir.

Anwar berkata persefahaman kaum di Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan politik di wilayah itu wajar dijadikan contoh untuk negeri lain bagi membolehkan mereka menumpukan kepada usaha pembangunan.

Anwar turut mengajak pemimpin semenanjung untuk turun ke pedalaman Sabah Sarawak melihat sendiri pembangunan di daerah yang masih banyak jauh ketinggalan serta memerlukan dasar pembangunan yang lebih prihatin dan bukannya membuat perbandingan dengan negeri yang sudah maju.

Dianggarkan lebih 300,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang yang berlangsung tiga hari bermula semalam di Pekarangan Boulevard Mall, Miri, Sarawak.

Program berkenaan dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selaku kementerian peneraju dan Kerajaan Sarawak selaku tuan rumah bertujuan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini