KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong penuh keputusan Qatar untuk mengutamakan penyelesaian krisis kemanusiaan yang teruk di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan perbualan telefon beliau dengan rakan sejawatnya Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Qatar, petang semalam berhubung perkembangan terkini di Timur Tengah.
Beliau berkata Sheikh Mohammed menekankan bahawa peluang untuk memperoleh hasil positif dalam rundingan gencatan senjata yang berlangsung antara Palestin dan Israel ialah dengan mengambil tindakan pantas bagi memanfaatkan detik itu.
“Bagi pihak rakyat Malaysia, saya telah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap peranan penting Qatar dan mengulangi komitmen kita untuk membantu dalam misi penting ini atas permintaan Sheikh Mohammed.
“Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan menghubung Presiden Iran dan wakil Hamas sebagaimana yang diminta oleh Sheikh Mohammed bagi memudah cara rundingan damai, menguatkuasakan gencatan senjata dan mempercepat penyaluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin,” kata Datuk Seri Anwar dalam hantaran di laman Facebook semalam.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.